Koleksi Karangan


Dilema perdagangan manusia

Oleh MOHD. NA'EIM AJIS
AKTIVITI perdagangan manusia merupakan antara jenayah tertua. Ia juga dianggap sebagai suatu industri universal dan tidak tertakluk kepada satu-satu negara untuk beroperasi.
Laporan Perdagangan Manusia (TIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat menganggarkan, kegiatan perdagangan manusia di negara itu melibatkan keuntungan antara AS$1 bilion hingga AS$3 bilion (RM3.5 bilion hingga RM10.5 bilion) setahun.
Dianggarkan sekitar 600,000 hingga 800,000 orang menjadi mangsa sindiket perdagangan manusia dengan sekitar 14,500 hingga 17, 500 daripadanya diperdagangkan di AS setahun.
Sementara itu, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Khusus Membanteras Dadah dan Jenayah (UNODC) menganggap perdagangan manusia sebagai industri jenayah yang menjana keuntungan sekitar AS$5 bilion hingga AS$9 bilion (RM17.5 bilion hingga RM31.5 bilion) setahun.
Isu perdagangan manusia kini menjadi antara fenomena yang mengancam banyak negara. AS telah menggubal undang-undang perdagangan manusia iaitu Akta Perlindungan Mangsa Penyeludupan dan Keganasan 2000.
Akta itu telah memperluaskan konsep perdagangan manusia dan mengenakan hukuman berat ke atas mereka yang terlibat.
Malaysia juga telah meluluskan Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (ATIP) bagi menangani isu tersebut. Kewujudan akta ini telah memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mendakwa dan mengenakan hukuman dengan peruntukan penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM500,000.
Sejajar dengan pengenalan akta tersebut, kerajaan turut menubuhkan Majlis Antipemerdagangan Orang (MAO) yang berfungsi untuk menyelaraskan dasar dan melaksanakan ATIP.
Walaupun Laporan Antipemerdagangan Orang 2007 (TIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat meletakkan Malaysia sebagai antara 16 negara berprestasi buruk dalam menangani isu ini, kewujudan ATIP dan MAO akan membuktikan komitmen negara dalam usaha membanteras fenomena ini.
Persidangan Serantau Mengenai Penyeludupan, Perdagangan Manusia dan Jenayah Antara Negara di Bali pada Februari 2002 telah menunjukkan komitmen bersepadu antara negara-negara Asia Pasifik.
Persidangan itu sepakat untuk membentuk kerjasama terutama dalam aspek perkongsian maklumat, kepakaran dan undang-undang yang seragam bagi memastikan aktiviti tersebut dapat dibendung di peringkat akar umbi.
Mereka juga menganggap penyeludupan dan perdagangan manusia bukan sahaja melanggar hak sesebuah negara malah ia menimbulkan pelbagai masalah selain menjejaskan hubungan diplomatik antara negara.
Namun begitu, dalam memperkatakan mengenai isu ini, ramai yang masih keliru di antara konsep penyeludupan dan perdagangan orang.
Menurut UN Convention Transnational Organised Crime (2000), penyeludupan ialah apabila seseorang memasuki sesebuah negara secara haram dengan melakukan pembayaran dalam bentuk wang atau faedah lain kepada pihak-pihak tertentu.
Sementara itu, Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 pula mendefinisikan perdagangan orang sebagai perekrutan, pengangkutan, pemindahan, pelindungan, penyediaan atau penerimaan seseorang bagi maksud eksploitasi.
Bagi pengertian eksploitasi pula Seksyen 2 telah mendefinisikan ia sebagai segala bentuk eksploitasi sama ada seks, kerja atau perkhidmatan paksa, perhambaan atau amalan yang menyerupai perhambaan, pengabdian atau aktiviti yang menyalahi undang-undang atau pemindahan organ manusia.
Daripada definisi di atas, terdapat beberapa perbezaan ketara antara perdagangan dan penyeludupan manusia.
Hubungan antara penyeludup dan orang yang diseludup akan berakhir apabila seseorang itu dihantar ke destinasi yang dikehendaki oleh mangsa dan unsur pengeksploitasian tidak perlu dibuktikan sebagai sabitan kepada kesalahan tersebut.
Apa yang pasti penyeludupan orang akan melibatkan rentas sempadan sesebuah negara secara haram.
Kesanggupan mangsa untuk membayar sejumlah wang menunjukkan bahawa migrasi mereka adalah benar-benar terdesak dan mereka menjangka mendapat keuntungan berlipat kali ganda di negara destinasi.
Pada 1993, seramai 300 imigran dari China telah diseludup ke New York dengan menggunakan kapal Golden Venture. Setiap mereka membayar sebanyak AS$30,000 hingga AS$40,000 kepada ejen penyeludupan.
Kebanyakan mereka telah berjaya mengaut keuntungan sehingga mampu membina rumah besar dan mewah di negara asal.
Perdagangan orang pula tidak semestinya mereka yang terlibat perlu merentas sempadan sesebuah negara tetapi ia juga boleh berlaku secara domestik. Contohnya dalam isu kerja paksa.
Ia tidak semestinya melibatkan pekerja asing sahaja tetapi boleh diambil kira nasib pekerja tempatan yang dieksploitasi oleh majikan.
Status kemasukan mangsa perdagangan orang boleh berlaku sama ada secara sah atau tidak. Tetapi bagi aktiviti penyeludupan statusnya sudah tentu tidak sah. Apa yang penting dalam isu perdagangan orang ialah wujudnya unsur-unsur eksploitasi dan paksaan terhadap mangsa.
Oleh itu, jika dilihat dalam kes Siti Hajar Sadli, pembantu rumah Indonesia yang dikatakan telah didera oleh majikan bukan sahaja boleh menggunakan peruntukan dalam Kanun Acara Jenayah (KAJ) tetapi juga peruntukan dalam Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (ATIP).
Kesalahan perdagangan orang tidak melibatkan unsur-unsur sukarela antara mangsa dengan orang yang memperdagangkan.
Ia juga tidak melibatkan sebarang bentuk ganjaran atau caj perkhidmatan seperti aktiviti penyeludupan.
Untuk tujuan pendakwaan dan sabitan, mangsa perlu dibuktikan telah dipaksa dan dieksploitasi. Unsur-unsur paksaan dan pengeksploitasian boleh wujud sama ada sebelum, semasa atau selepas proses perdagangan orang itu berlaku.
Dengan itu, adalah sukar pihak berkuasa untuk bertindak pada peringkat awal kerana ia perlu menentukan mangsa telah dieksploitasi atau sebaliknya.
Bagaimanapun, tidak dinafikan aktiviti penyeludupan boleh menjadi proses awalan kepada aktiviti perdagangan manusia. Ini kerana selalunya kesalahan penyeludupan orang mempunyai potensi untuk menjadi sebahagian aktiviti perdagangan manusia.
Justeru itu, apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan dalam menangani isu ini ialah komitmen jitu dan pelaksanaan strategik supaya ia tidak menjadi "tin kosong" dalam meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan.
Pelaksanaan perlu dilengkapi dan disokong dengan aspek perundangan yang tersusun, kakitangan yang komited dan kewangan yang mantap.
Ini kerana tanpa elemen-elemen tersebut adalah sukar untuk kerajaan mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam pelan induk mengenai antiperdagangan orang.
Apa yang pasti mangsa-mangsa perlu diberikan perlindungan sebaik mungkin tanpa mengira agama, gender, bangsa dan negara asal.
Di samping itu, setiap negara juga perlu menandatangani memorandum perjanjian di bawah PBB supaya kos pemulihan dan penguatkuasaan boleh ditanggung bersama jika salah seorang - mangsa atau penjenayah - melibatkan rakyat mereka.
Perjanjian itu akan membuatkan semua negara lebih serius untuk menangani isu ini.
Oleh itu, aktiviti ini boleh disekat sejak dari negara sumber lagi dan mengurangkan beban kepada negara destinasi serta menggalakkan migrasi secara sah.
Kerajaan ambil langkah agresif kekang aktiviti dengan penguatkuasaan lebih bersepadu

MALAYSIA sedang memperkemas serta memperincikan tindakan untuk mengawal aktiviti pemerdagangan manusia yang bukan saja dihadapi negara ini, malah ia juga fenomena seluruh dunia. Isu perdagangan manusia juga dianggap landskap jenayah baru di Malaysia berbanding negara lain yang sudah berakar umbi sehingga mampu mengancam keselamatan dan keamanan negara.

Perangkaan rasmi memperlihatkan kira-kira 2.7 juta manusia diseludup di seluruh dunia setiap tahun dengan 80 peratus daripadanya membabitkan wanita dan kanak-kanak yang diperalatkan bagi tujuan tertentu termasuk pelacuran dan sebagainya.

Keresahan itu turut menghantui Kerajaan Malaysia dengan mengambil tindakan agresif untuk membendung aktiviti itu termasuk meminda dan menggubal Akta Antipemerdagangan Orang 2007 dan dikuatkuasakan Februari 2008 lalu, daripada terus bersarang.


Laporan terbaru, kira-kira 40,000 rakyat India 'hilang' di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh dan tidak dapat dikesan daripada rekod Jabatan Imigresen, selain lebih 50,000 warga China hilang apabila visa waktu ketibaan (VOA) mereka tamat tempoh adalah antara persoalan yang perlu diambil perhatian.

Apa yang nyata, pelbagai keistimewaan yang dilakar negara ini dalam pelbagai aspek mampu menggamit warga asing mengunjungi negara kita atas faktor potensinya sebagai destinasi pelancongan yang terserlah serta antara lokasi yang banyak menawarkan peluang pekerjaan.

Malangnya, kesempatan itu disalah guna sebilangan warga asing dengan menjadikan Malaysia lubuk untuk menempatkan diri bagi tujuan menjana keuntungan. Lebih menakutkan kita apabila sebahagian pelancong asing itu mencari peluang dengan cara kotor untuk mengumpul kekayaan di Malaysia dalam bidang pelacuran atau jenayah lain sehingga mencemar imej negara.


Justeru, dengan perkembangan itu, Amerika Syarikat dalam laporan Antipemerdagangan Orang 2007 meletakkan Malaysia sebagai antara 16 negara berprestasi buruk dalam mengekang isu berkenaan secara tuntas.


Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam ketika menjelaskan perkara itu dalam satu temu bual dengan stesen televisyen tempatan berkata, kerajaan melihat secara positif perkara itu dengan mengkaji apakah kelemahan yang dihadapi negara secara menyeluruh dalam isu berkenaan.

Pada masa sama, katanya, langkah bagi membanteras jenayah bentuk baru itu daripada terus berleluasa ialah memperketat pelbagai aspek termasuk dari segi kemasukan pelancong asing serta mengawal semua 262 pintu masuk ke sempadan negara yang dipercayai juga boleh menyumbang kepada jenayah perdagangan manusia.

Sejajar dengan landskap baru jenayah itu, kementerian berkenaan mengadakan kerjasama dengan badan antarabangsa seperti melatih anggota keselamatan untuk menangani pelbagai kemungkinan kemasukan warga asing bagi tujuan tertentu.

Katanya, sejak tahun lalu, pihaknya sudah melatih lebih 3,000 penguat kuasa dengan melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan maklumat seperti mengenal pasti modus operandi yang menggunakan pelbagai taktik serta operasi mereka daripada dikesan pihak berkuasa.

Malangnya, beliau berpendapat ramai juga kalangan pelancong yang memasuki negara ini menggunakan taktik kotor untuk menetap di negara ini secara haram, selain menggunakan Malaysia sebagai transit untuk ke negara ketiga dan destinasi lain.


Sudah pasti, katanya, bagi mereka yang ingin menjadikan Malaysia sebagai negara transit atau sebagainya, peluang mereka akan terus ditutup rapat dengan mengesan mana-mana ruang kosong yang memungkinkan mereka mudah menyeludup masuk menerusi sempadan tanah air.

Bagi merealisasikan misi itu, pihaknya melatih penguat kuasa, pendakwa raya, hakim dan majistret mengenai pelbagai perkara termasuk Akta Antipemerdagangan Orang 2007 supaya mereka bersiap sedia berdepan isu terbabit.


"Kempen kesedaran untuk membasmi jenayah perdagangan manusia di kalangan masyarakat juga dipergiatkan. Jika Akta Imigresen mengesan mereka yang masuk secara haram, akta Antipemerdagangan itu mencakupi perkara dalam mencari dalang, ejen atau sindiket di sebalik aktiviti perdagangan manusia ini," katanya.

Beliau menjelaskan walaupun sudah ada Akta Antipemerdagangan Orang 2007, agak sukar untuk mengenal pasti jenayah perdagangan itu kerana pergerakan mereka begitu licik.


Apa yang dilakukan sekarang ialah dengan melihat kes demi kes melalui profil mereka seperti kekerapan kemasukan mereka ke negara ini atas tujuan apa, berapa banyak wang yang mereka ada sepanjang tinggal di sini, data wanita yang dianggap aktif iaitu berusia antara 21 hingga 35 tahun juga akan dilihat sebagai antara taktik yang mungkin digunakan mereka untuk meloloskan dan mengabui mata penguat kuasa.


Katanya, pada Sidang Parlimen sesi Mac depan, akta terbabit juga akan diperbincangkan dengan lebih jelas dan terperinci bagi memastikan akta berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.


Justeru, kita mengharapkan supaya jenayah perdagangan manusia itu dapat dikekang sepenuhnya menerusi akta sedia ada, penguatkuasaan yang lebih bersepadu serta koordinasi antara kementerian lain khususnya Kementerian Pelancongan dan Kementerian Dalam Negeri bagi membersihkan imej negara daripada terus terpalit sebagai salah sebuah negara sarang jenayah itu.


Dengan kemudahan VOA yang ada sekarang, kerajaan tidak perlu memejamkan mata sebaliknya bangkit segera menangani isu ini sebelum terlambat. VOA itu sendiri juga perlu dikaji semula supaya tidak ada lagi pelancong asing atau mana-mana sindiket menggunakan kesempatan atas kelonggaran itu bertindak sesuka hati untuk mengaut laba menerusi perdagangan manusia
.

Panorama Malaysia yang berbilang kaum ini lebih menyukarkan kita untuk mengenal pasti antara rakyat tempatan atau pelancong asing kerana paras rupa dan bahasa mereka khususnya dari China, India, Sri Lanka dan Indonesia tidak banyak bezanya apabila sudah bercampur dengan masyarakat di negara ini.

No comments:

Post a Comment